Entry: Semalam dalam kenangan... Thursday, July 06, 2006



Semalam dalam sejarah.  Hujan turut dengan lebatnya di Sri Gombak.  Selepas pulang kerja saya sempat menyinggah di Gerai Burger di depan 7-Eleven.  Anak-anak lelaki saya mahukan Frankfruter. 

Sewaktu sedang menghampiri gerai tersebut, saya terpandangkan dua orang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis.  Mamat Burger berkata. "Kak, kesian dia kak. Kena pukul.  Sebab tu cari perlindungan kat sini.  Samseng mana tah yang pukul depa".  Lebih kurang begitulah dialog yang disebutkan.  Hati saya terusik dan saya sendiri mula berasa simpati yang melaut luas menyelubungi naluri seorang perempuan dan ibu.

Masih terngiang-ngiang lagi tangisan sendu dari dua budak lelaki yang sebaya dengan anak saya.  Entah mengapa, tiba-tiba hati saya meruntun ingin menghampiri kedua beradik yang sedang menangis itu.  Tanya punya tanya, rupanya si abang (12 thn) dan si adik (8thn) telah dibelasah oleh budak-budak dewasa yang mana berdendam dengan si abang (14 thn). Hatta, tak dapat abang, adik-adiknya digasak dengan teruk.  Habis lebam-lebam muka mereka.  Kasihan saya melihat keadaan diri mereka. 

Saya menawarkan diri untuk menghantar mereka pulang dan mengadukan hal tersebut kepada ibunya.  Tetapi berkali-kali mereka menolak.  Mungkin tidak mengenali diri saya.  Akhirnya setelah dipujuk oleh saya dan beberapa orang mat-mat burger di situ, akhirnya kedua beradik itu selamat dihantar pulang oleh saya.  Tetapi saya kesal kerana kedua beradik itu terlalu takut dan tidak mahu saya memaklumkan kepada ibunya.  Mungkin juga takut dimarahi dan dibelasah nanti.  Walau apa pun, saya sempat menasihat dan memotivasi diri mereka agar sentiasa berkelakuan baik dan belajar rajin-rajin. 

Kenapa saya sanggup melakukan sebegini? kerana saya menganggap setiap anak-anak di luar itu macam anak saya sendiri.  Setiap kesusahan yang dialami oleh mereka, saya dapat merasakannya.  Walaupun saya kurang harta, tetapi hati saya kaya dengan perasaan kasih dan sayang.  Oleh itu, kita sebagai ibu bapa -
"SAYANGILAH ANAK-ANAK".  Tanpa kita, anak-anak tiada penyokong hidup.  Awasilah gerak-geri mereka ketika di dunia luar.

Salam sayang,
Mama Liza.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments